Monday, March 23, 2009

Solat Malam...

Teringat akan pesanan mak, selalu lah bangun solat malam. Yer solat malam. Bukan senang nak mengistiqamahkan diri dalam melakukan amalan solat malam ni. Mana taknya, kita terpaksa meninggalkan bantal dan tilam kita yang empuk untuk tunduk sujud di atas lantai yang keras. Ditambah pulak dengan cuaca kesejukan pagi yang teramat sangat. Aduii beratnya nak bangun..

Tapi kita kene kuatkan semangat untuk terus kita mengamalkan amalan solat malam ini. Sebab apa yerk ?? sebabnya apa yang Rasulullah lakukan dalam membentuk diri dan sahabat baginda pada tahap-tahap awal ialah sembahyang malam.

Solat malam ini juga adalah amalan orang-orang terdahulu yang telah mendapat kurnia dan rahmat dari Allah. Sekiranya kita mahu mengislamkan diri kita dan hati budi kita, marilah kita ikut salah satu cara yang telah dipraktikkan sejak zaman berzaman ini iaitu sembahyang malam.

Kita pada hari ini susah sangat nak bangkit malam nih. Jauh sangat bezanya jatidiri orang zaman sekarang dengan orang-orang terdahulu yang telah pergi meninggalkan kita.

Hari ini orang boleh bersengkang mata sebab nak tengok bola. Takder pun terniat nak lakukan solat 2 rakaat dulu ke bila dah sedar tuh. Bangun-bangun terus tercongok depan tv menantikan siaran langsung perlawanan bola. Apalah salahnya ambik air sembahyang dan solat 2 rakaat dulu...pastu tengok la bola kalau nak tengok. Tapi biasa la kan. Sudah namanya manusia, kalau benda yang kita tak nampak jelas ganjaran nya dengan mata kepada kita ni, memang susah untuk kita lakukan perkara tersebut.

Kalau ler Allah bukakan seminit hijab mata kita dapat melihat bagaimanakah nikmat ganjaran di atas amalan yang kita lakukan, teman yakin dan pasti seorang pun tidak akan melakukan perkara mungkar.

Kerana itulah Allah menyembunyikan bentuk ganjaran itu kepada kita. Sesuatu yang berharga bukan mudah untuk kita perolehi. Hanya insan-insan yang terpilih yang akan mendapat ganjaran tersebut.

Ya Allah, golongkanlah aku di kalangan mereka yang mendapat rahmat dan ganjaran dariMu...Amin...

Berbalik kita pada perbincangan solat malam tadi.

Allah telah menyanjung tinggi mereka-mereka yang melakukan amalan malam ini. Allah telah berfirman di dalam surah Az-Zariyat ayat 15-18 yang bermaksud :

15. Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, Dengan matair-matair terpancar padanya.
16. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat Yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang Yang berbuat kebaikan.
17. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.
18. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).

Mengapa yer waktu malam ni amat sesuai untuk kita beribadat. Semua orang tahu bahawa waktu malam ini adalah lebih tenang jika nak dibandingkan dengan waktu siang. Cuaca yang lebih sejuk membuatkan diri kita lebih selesa dan tenang. Bilamana diri kita tenang barulah kita dapat mengadap Yang Maha Berkuasa dengan penuh khusyu’.

Bukan senang kita nak mendapat title kekasih Allah ni kan. Tapi Maha Suci Allah, Allah memang benar-benar sayang dan kasih pada hambaNya. Diberikan kelebihan kepada mereka yang melakukan amalan malam ini dengan mendapat title kekasihNya. Ya Allah..pemurahnya diriMu ya Allah.

Abu Dardar’ meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:

“Tiga orang, Allah kasihkan kepada mereka, Allah gemar/gembira dan beristibsyar dengan mereka. Orang yang pasukannya hampir kalah tetapi terus berperang (menggadaikan) nyawanya demi Allah SWT. Tekadnya ialah samada ia terkorban (syahid) atau dimenangkan oleh Allah dan diselamatkan oleh-Nya. Sehingga Allah berkata: “Lihatlah kalian kepada hamba Ku ini, demikian sabarnya dia demi Aku.”

Orang yang punya isteri yang rupawan, tilam yang empuk nyaman namun ia bangun sembahyang malam. Allah sampai berkata Demikian sekali ia sanggup meninggalkan nafsu syahwatnya dan mengingati Aku, padahal jika ia mahu ia boleh terus tidur.

Dan orang yang dalam perjalanan bersama teman-teman. Mereka berjaga (kerana perjalanan), kemudian mereka tidur, namun ia bangun bersembahyang di larut malam dengan payah atau mudah.-[Riwayat Tabarani]

Oleh itu marilah sahabt-sahabat sekalian, kita tanamkan dalam diri kita untuk kita mengamalkan amalan sembahyang malam ini. Bagi yang belum pernah bangun pada waktu malam untuk tunduk sujud kepadaNya, inilah masanya untuk kita buat perubahan pada diri kita. Bagi mereka yang sudah biasa melakukan sembahyang malam ini, pertingkatkan lah amalan kalian dan pastikan lah istiqamah dengan amalan tersebut.

Bagi yang baru nak belajar-belajar bangun malam tuh, tak perlulah terus kalian bersengkang mata sepanjang malam untuk beribadat. Bukan tak boleh nak bermunajat sepanjang malam. Takut nanti jadi hangat-hangat tahi ayam.

Buatlah mengikut kadar kemampuan kita. Biar pun sedikit asalkan istiqamah melakukannya. Yang penting kita lakukan walaupun sedikit.

Menurut Ibnu Abbas, Rasulullah SAW menyuruh dan menggalakkan umatnya sembahyang malam, hinggakan beliau pernah bersabda:

“Hendaklah kamu (melazimkan sembahyang malam walaupun (sekadar) satu rakaat.”
[Riwayat Tabarani]

“Anas berkata: Pada suatu masa Rasulullah masuk masjid dan melihat seutas tali teruntai antara dua tiang. “Apa ini? Tanya Rasulullah SAW. Sahabat menjawab: Itu kepunyaan Zainab wahai Rasulullah. Untuk menolongnya kuat bangun sembahyang bila tidak bertenaga lagi”. Tanggalkan! Perintah Rasulullah SAW. “ Sesiapa yang sembahyang buatlah setakat mampunya. Kalau ia telah lemah atau letih hendaklah ia baring”.
[Riwayat Nasaii]

Teman mengingatkan diri teman khususnya dalam kita nak memantapkan jatidiri kita sebagai muslim mukmin yang berjaya. Marilah kita sama-sama istiqamah ataupun berterusan dalam melakukan amalam sembahyang malam ini.

Sekiranya kita sudah berkahwin, maka kejutkanlah pasangan kita untuk bersama kita bersembahyang memohon perlindungan dari Allah. Bagi yang belum berkahwin tu, pandai-pandai lah kunci jam sendiri yerk..

Insya Allah, semoga kita semua akan mendapat rahmat dari Allah.

No comments: