Monday, March 2, 2009

Kelahiran Junjungan Besar

Assalamualaikum warah matullahhi wabarokatuh....

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis,barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana,penjaga masa yang setia dengan detiknya,seterusnya hadirin hadirat sidang warga dewan yang saya kasihi sekalian..

”Kelahiran Nabi Muhammad Sallallahhu’alaihi Wassalam” begitulah tajuk cerita yang akan saya sampaikan.

(Nasyid Al-Mizan)

Tercipta satu lembaran sejarah

Di tanah suci Kota Mekah

Hari yang mulia penuh syahadah

Bermulalah sebuah kisah

Hadirin pendengar sekalian...

Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia.

Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. merupakan satu rahmat kepada manusia sekalian alam. Baginda bukan sahaja berfungsi sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai pemimpin, ketua tentera dan juga sebagai pendamai.

Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan di Mekah dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Walaupun diketahui bahawa Muhammad merupakan rasul dan nabi terakhir bagi umat manusia oleh orang Islam, tetapi orang-orang Yahudi dan Kristian enggan mengiktiraf Muhammad sebagai nabi dan rasul. Nabi Muhammad merupakan pelengkap ajaran Islam setelah Nabi Musa dan Nabi Isa.

Surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud:

107. Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.


(Nasyid Al-Mizan)

Malam isnin subuh yang indah

Dua belas rabiul'awal yang cerah

Dua puluh april tahun gajah

Lahirlah zuriat dan syahadah

Abdullah nama bapanya

Siti Aminah ibunya

Riang gembira menyambutnya

Lahirnya putra yang utama

Muhammad nama diberi

Gelaran yang terpuji

Nikmat Illahi sama disyukuri

Terima putra yang berbakti

Keadaan yatim anak mulia

Lahirnya bawa cahaya

Alam derita jadi gembira

Terima junjungan mulia

Rakan-rakan sekalian...


Nabi Muhammad saw dilahirkan pada tahun gajah, iaitu tahun dimana Abrahah al-Asyram berusaha menyerang Makkah dan menghancurkan Ka’bah dengan pasukan bergajahnya.


(Nasyid Raihan-Ababil)

bagai gempa bumi yang menggegarkan
tentera bergajah Abrahah
ingin memusnahkan Kota Mekah
kerana dengki benci terhadap rumah Allah

Ababil kisah benar dari Al-Quran
Ababil bukan hanya kisah dongengan
Ababil satu bukti bantuan Tuhan
jika kita bertakwa dan bertawakal kepada Nya

burung-burung Ababil dikirim Allah
melemparkan batu yang panas, batu dari neraka
menghancurkan bala tentera Abrahah, tanda pembelaanya


1. Tidakkah Engkau mengetahui Bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?

2. Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka Dalam keadaan Yang rugi dan memusnahkan mereka?

3. Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, -

4. Yang melontar mereka Dengan batu-batu dari sejenis tanah Yang dibakar keras, -

5. Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu Yang dimakan ulat.


Hadirin sekalaian...


Ayat di atas mengandungi amaran bahawa sesiapa yang menentang Allah akan berakhir dengan kesedihan.Ia juga merupakan peringatan tentang kebaikan Allah kepada mereka di mana Dia telah menyelamatkan Rumah suci itu untuk mereka,sedangkan mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk mempertahankannya. Selepas peristiwa itu kemasyhuran Kaabah tersebar dengan lebih luas lagi,daya tarikan nya semakin meningkat dan orang-orang Arab datang dari pelbagai tempat di semenanjung itu untuk menziarahi Kaabah.


Sidang warga dewan sekalian...


Saban tahun kita meraikan ulangtahun kelahiran junjungan besar kita ini. Tetapi berapa ramai dari kita dapat menghayati cara hidup dan perjuangan Rasulullah. Pada hari ini sunnah-sunnah Rasulullah bukan lagi jadi ikutan kita.

Anak-anak remaja pada hari ini sudah tidak kenal dan tidak tahu bagaimana pengorbanan Rasulullah dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Yang meniti di bibir mereka bukan lagi selawat dan salam ke atas junjungan besar kita tetapi lagu-lagu ciptaan barat yang lebih banyak melalaikan mereka.

(Nasyid Raihan-Nabi Anak Yatim)

Terpadam api biara majusi
Runtuhlah istana Kisra Parsi
Mekkah diterangi cahya putih
Tanda lahir Nabi anak yatim

Inilah sahabat-sahabat sekalian...

Di saat ibu baginda mengandungkan baginda. Ibunya pernah bermimpi pada suatu malam terdapat satu cahaya dari langit telah masuk ke dalam perutnya lalu cahaya itu keluar melalui jubahnya dan memancar ke langit sehingga menyebabkan seluruh kawasan itu bersinar terang. Terangnya cahaya itu sehingga menampakkan istana raja busra. Lalu ibu baginda pun pergi menanyakan perihal mimpinya itu kepada mereka yang bijak dalam mentafsir mimpi.


Lantas berkatalah si penafsir mimpi tersebut kepada ibu baginda bahawa anak dalam kandungannya itu akan dilahirkan sebagai seorang insan yang agung. Bayi dalam kandungan itulah yang akan mencerahkan aqidah manusia yang masa itu berada dalam kegelapan.


Rupa-rupanya kelahiran yang bakal dinantikan itu adalah kelahiran seorang nabi. Itulah perancangan Allah. Sebaik-baik perancang. Allah telah merancang semua itu sejak dari azalinya lagi. Oleh kerana itu barangsiapa yang menolak pilihan Allah adalah tergolong dalam kalangan mereka yang kafir. Oleh kerana itu, tiada sebab kita mahu menolak apa yang telah ditetapkan oleh Allah kerana sebaik-baik perancang adalah Allah yang sentiasa merancang untuk kebaikan manusia. Barangsiapa yang membantah pilihan ini adalah mereka yang lari daripada kebaikan.

Kelahiran Rasulullah memang benar-benar suatu rahmat ke atas alam ini. Pada suatu ketika, pedalaman Banu Sa’ad telah mengalami musim kemarau yang menyebabkan keringnya ladang ternakan dan pertanian. Tidak lama setelah Nabi Muhammad saw tinggal di sana, pedalaman Banu Sa’ad kembali menghijau dan subur, sehingga kambing-kambing pulang dengan perut kenyang dan penuh air susunya. Kehadiran Nabi Muhammad saw telah membawa keberkatan dan kerahmatan untuk seisi alam.

Matlamat Allah mengutuskan dan melahirkan Nabi Muhammad adalah bertujuan untuk menyempurnakan akhlak-akhlak manusia di atas muka bumi ini. Semasa hayat baginda, baginda pernah bersabda :

“ Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji”

Muslim yang berkualiti adalah mereka yang memiliki akhlak terpuji dalam hidup mereka, akhlak juga yang membezakan antara seorang yang berfikiran waras atau sebaliknya.

Rasulullah s.a.w bersabda : “Orang beriman yang paling sempurna imannya, adalah mereka yang paling baik akhlaknya.”

Baginda telah membayangkan bahawa akhlaklah yang memacu jati diri muslim untuk mendapat tempat tertinggi di sisi Allah, ini kerana baginda telah meletakkan kesempurnaan iman seseorang muslim itu dengan kesempurnaan akhlaknya, seolah-olah apabila akhlak tidak lagi menjadi perkara penting dalam kehidupan mereka, pada masa itu mereka tidak lagi boleh dikatakan sebagai seorang mukmin yang sejati.

Hakikat yang berlaku pada hari ini, manusia bernama muslim telah memisahkan akhlak dalam segenap aktiviti hidup mereka, akhlak tidak lagi menjadi bahan utama dalam kerjaya, cara berpakaian, berfikir, berkomunikasi dan lain-lain.

Justeru itu, kelahiran baginda Rasulullah ke dunia ini amat tepat sekali. Kita perlulah kembali kepada sunnah baginda dalam kita mencari keredhaan dan keberkatan di dalam hidup kita ini.

Apabila akhlak yang terpuji dapat kita amalkan seperti yang disarankan oleh Rasulullah, tidak mustahil akan memandu muslim ke arah kesempurnaan iman yang sebenarnya.

Oleh itu, kejayaan ummah ini bergantung kepada sejauhmana mereka menghiasi diri dengan akhlak yang terpuji bersesuaian dengan perutusan Nabi Muhammad ke dunia ini untuk menyempurnakan keimanan manusia .

Buat sidang warga dewan yang saya hormati sekalian...saya akhiri kisah kelahiran junjungan Nabi dengan serangkap pantun...

Banyakkanlah selawat pada Rasullullah,

Ditambah pula ucapan salam,

Dia kekasih yang disayangi Allah,

Pembawa rahmat seluruh alam


Wabillahi taufiq wal hidayah..wassalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh..


Disediakan oleh : baiti jannati

No comments: