Tuesday, March 10, 2009

Cerdik akademik tetapi....

“ Abang..kita hantar anak kita belajar engineering kat Jepun nak ? “ kata mak Temah pada suaminya semasa menikmati makan tengah hari di sebuah restoren.

Anaknya yang kini sedang bekerja sambilan di kedai serbaneka 7-Eleven sementara menunggu pengumuman keputusan peperiksaan SPM yang diambilnya sebulan yang lalu.

“ Ermm..abang pun bercadang macam tu jugak la Mah “ jawab pak Seman ringkas sambil jari bersedia untuk meneruskan suapan ke mulut.

“ Malam karang kita bincang dengan budak Amir tu yer bang “ mulut yang dipenuhi makanan tetap juga dipaksa utk bercakap.

“ Malam ni tak boleh lah..abang ada temujanji dengan Datuk Ismail nak bincang pasal projek pembaikan sekolah tuh “

“ Abang ni..sesekali bagi la masa untuk anak dan keluarga sama “

“ Mah oii..abang kerja cari duit untuk bagi kat korang semua jugak, mah yang dok kat rumah tu tengok-tengok la anak kita tuh “

“ Asyik-asyik Mah jer bang...” rungut mak Temah.

Itulah dia kehidupan Pak Seman..hidupnya banyak dihabiskan di luar mengikut jejak orang-orang kuat agar senang untuk memperolehi projek.

Pak Seman hanya pulang ke rumah untuk berehat sahaja..itupun sudah lewat malam baru dia pulang ke rumah.

Anak mereka dibiarkan berdikari katanya. Pandai-pandai lah si anak untuk mencari kehidupan mereka. Pak Seman dan isteri hanya akan menyediakan wang perbelanjaan si anak. Selebihnya terpulang kepada si anak untuk hidup. Yang penting bagi mereka anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran.

Kisah yang teman bawakkan ni banyak terjadi dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini. Dalam mereka mengejar kesenangan di dunia, mereka mengabaikan tanggungjawab asas mereka terhadap anak-anak.

Bagi mereka, kejayaan dalam pengajian adalah kejayaan yang sebenar-benarnya. Dibebankan anak-anak mereka ini dengan pelbagai tuisyen bagi meningkatkan tahap kecemerlangan mereka dalam bidang akademik.

Penekanan yang terlampau terhadap bidang akademik dan dalam masa yang sama mengabaikan soal pendidikan agama terhadap anak-anak hanya akan melahirkan anak-anak yang cerdik akademik tetapi buta agama.

Muncul lah nanti mereka yang bijak dalam bidang akademi tetapi tidak pandai membaca Al-Quran.. Akan ada nanti mereka yang cerdik di bidang akademik tetapi tidak pandai bersolat.. Sudah terlalu banyak di depan mata kita sekarang ini mereka yang cerdik pandai tetapi tidak menutup aurat. Lebih teruk dari itu, akan muncul cendiakawan di bidang akademik yang mempunyai otak yang mantap tetapi mempersendakan hukum Allah. Nauzubillah min zalik..

Realiti yang berlaku depan mata kita sekarang ini amat berbeza dengan pengalaman orang-orang dahulu. Orang-orang tua kita dahulu akan rasa malu sekiranya antara 5 orang anaknya, ada seorang yang tidak pandai membaca Al-Quran. Menjadi satu keaiban kepada mereka.

Tapi sekarang ini terbalik, mak bapak akan rasa malu sekiranya terselit seorang anak yang bertudung labuh serta berjubah di kalangan anak-anak yang tidak bertudung dan berseluar pendek.

Soal pendidikan agama bukan lagi soal yang penting bagi masyarakat kita pada hari ini. Bagi mereka, tidak berjaya dalam bidang akademik amat memalukan. Kita pun selalu dihidangkan di televisyen bagaimana kehidupan yang patut dijadikan tauladan.

Guru kita bukan lagi di masjid. Yang dijadikan panduan adalah apa yang ditayangkan di tv. Habis hancur minda dan pegangan umat Islam atas serangan dan racun yang dihantar oleh Yahudi ini.

Sememangnya kita patut malu, sekiranya anak-anak dan ahli keluarga kita tidak dapat mempraktikkan cara hidup Islam dalam kehidupan mereka. Sesudah kita dijemput Allah nanti, anak-anak inilah yang akan mendoakan kita.

Bayangkan sekiranya mereka tidak dibekalkan dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Di saat kita bertempur dengan kematian, mereka tidak dapat memperdengarkan bacaan Yasin untuk kita. Anak lelaki sulung kita tidak dapat mengimamkan jenazah kita sebelum kita dikebumikan. Dimasa kita sudah berada di dalam gulungan kain kapan tersebut, tiada gunanya lagi penyesalan di saat itu.

Oleh itu, semuanya perlu kita mulakan dari sekarang. Sedarlah wahai umat Muhammad. Kehidupan kita di dunia ini cuma sekadar persinggahan sementara sahaja. Kita semua akan meneruskan perjalanan yang masih panjang.

Kita ibaratkan kita seorang musafir yang sedang berjalan menuju ke suatu destinasi. Dalam perjalanan tersebut, kita berhenti di bawah pohonan yang rendang bagi menambahkan bekalan tenaga untuk kita meneruskan perjalanan kita. Sekiranya kita terleka dengan keasyikan tempat persinggahan kita itu, perjalanan yang perlu kita tempuhi akan melalui jalan yang sukar. Apabila hari menjangkau malam, perjalanan kita makin susah. Bimbang-bimbang kita akan tersesat dek kerana tiada persiapan secukupnya dari kita.

Begitu jugak lah kehidupan kita di dunia ini. Barangsiapa yang terleka dengan tipu daya dunia yang menjadi tempat persinggahan kita ini, sampai satu masa nanti, kita pasti akan rasa terdesak setelah kita sedar akan perjalanan kita yang perlu dilalui masih jauh. Umur yang sudah menghampiri usia senja membuatkan kita akan mencari jalan mudah untuk melakukan ibadat tetapi ditawarkan ganjaran yang banyak. Sebab itulah ramai yang tersesat. Kerana itu kita bimbang sekiranya pencarian kita dalam masa yang terdesak itu membuatkan kita tersilap memilih jalan.

Marilah sahabat-sahabatku sekalian, kita muhasabah semula diri kita. Bagi yang telah berkeluarga, pimpinlah serta didiklah anak-anak kalian. Berikan lah didikan agama yang secukupnya untuk mereka bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan di dunia ini dengan bekalan yang cukup.

Bagi mereka yang belum lagi berkeluarga, persiapkanlah diri kalian dengan ilmu agama yang secukupnya. Suatu masa nanti, kalian jugak akan dipertanggungjawabkan ke atas jagaan kalian. Sementara waktu sampai untuk kalian berkeluarga, sentiasalah doakan untuk ayah dan ibu kita serta seluruh ahli keluarga kita. Teruskan doa tersebut apabila kalian sudah berkeluarga nanti.

Didiklah anak kita agar bijak dalam akademik serta celik dalam agama. Sama-sama kita doakan agar kita akan diberikan cahaya mata yang cemerlang di dunia dan gemilang di akhirat. Semoga diri kita dan anak-anak kita akan jadi insan yang terbilang di dunia dan akhirat . Insya Allah Islam dulu, kini dan selamanya..Amin…


No comments: