Monday, April 6, 2009

Kisah ketabahan Nabi Ayyub

Pohon rumbia di tengah pekan,
Selalu dihinggap burung tempua,
Lafaz yang mulia saya mulakan,
Assalamualaikum untuk semua.

Lahirnya bayi disambut bidan,
Setelah selamat diazankan segera,
Kisah nabi jadikan tauladan,
Supaya kita hidup sejahtera.

Basah kuyup mandi di lata,
Mandi bersama anak si kaya,
Nabi ayyub empunya cerita,
Kisah ketabahan nabi yg setia.

Nabi ayyub adalah seorang nabi yang diutuskan ke atas muka bumi ini. Diutuskan nabi ke bumi ini adalah untuk mengajak manusia keluar dari kegelapan kepada cahaya. Nabi ayyub juga tidak terlepas dari dugaan dan cabaran daripada iblis laknatullah.

Iblis tetap iblis yang mana telah berjanji dihadapan Allah untuk menyesatkan bani adam tidak kira bagaimana cara sekalipun.

Iblis memasang niat untuk menyesatkan nabi ayyub setelah mendengar kata-kata pujian dan sanjungan dari malaikat untuk diri nabi ayyub.

Nabi ayyub seorang nabi yang dikurniakan dengan nikmat kekayaan dan nikmat keturunan yang ramai. Walupun dikurniakan dengan begitu banyak nikmat duniawi, nabi ayyub tidak pernah leka dengan suruhan dan perintah Allah. Oleh kerana amalan itulah iblis merasa sangat benci dan mahu menyesatkan nabi ayyub.

Iblis dan kumpulan nya merancang bagaimana mahu menyesatkan dan melemahkan semangat nabi ayyub ini. Lalu mereka telah bersepakat utk memusnahkan segala apa yang ada pada nabi ayyub. Iblis mahu nabi ayyub menjadi papa kedana, dan mahu menghapuskan keturunan nabi ayyub supaya nabi ayyub tinggal sebatang kara sahaja.

Setelah pelbagai cara dilakukan, akhirnya kawanan iblis ini berjaya memusnahkan segala harta yang dimiliki oleh nabi ayyub. Haiwan ternakan dan ladang-ladang milik nabi ayyub habis musnah semuanya. Tetapi iblis tidak dapat memusnahkan hati nabi ayyub yang masih teguh imannya kepada Allah.

Nabi ayyub mengatakan bahawa segala harta yang dimiliki olehnya sebelum ini adalah pinjaman daripada Allah. Sudah sampai masanya harta tersebut diambil kembali. Iblis sangat kecewa dengan kekuatan iman yang dimilik oleh nabi ayyub itu. Lalu iblis meneruskan perancangannya untuk menyesatkan nabi ayyub.

Kali ini iblis bersepakat untuk menghancurkan keluarga nabi ayyub yang hidup dalam keadaan aman dan damai, saling cintai mencintai antara satu sama lain. Lalu pergilah iblis dan pembantu-pembantunya ke tempat kediaman putera-putera nabi ayyub. Iblis telah merobohkan dan menghancurkan kediaman putera-putera nabi ayyub. Habis semua putera-putera nabi ayyub mati dek kerana usaha iblis mahu melemahkan semangat nabi ayyub utk beribadah kepada Allah.

Setelah itu iblis telah berjumpa dengan nabi ayyub dan menyamar sebagai salah seorang kenalan nabi ayyub. Iblis berkata : “Hai Ayyub, sudahkah engkau melihat putera-puteramu yang mati tertimbus di bawah runtuhan kediaman yang roboh akibat gempa bumi? Kiranya, wahai Ayyub, Tuhan tidak menerima ibadahmu selama ini dan tidak melindungimu sebagai balasan bagi amal solehmu dan sujud rukukmu siang dan malam.”

Mendengar kata-kata Iblis itu, menangislah Ayyub tersedu-sedu seraya berucap: “Allahlah yang memberi dan Dia pulalah yang mengambil kembali. Segala puji bagi-Nya, Tuhan yang Maha Pemberi dan Maha Pengambil.”

Iblis keluar meninggalkan nabi ayyub yang sedang sujud kepada Allah dalam keadaan marah kerana gagal untuk kali kedua untuk melemahkan semangat nabi ayyub.

Iblis masih belum berputus asa untuk menyesatkan nabi ayyub, lalu iblis memohon dari Allah untuk terus menggoda nabi ayyub. Allah telah mengizinkan iblis untuk meneruskan niatnya itu dan Allah berfirman kepada iblis bahawa iblis tidak mampu untuk melemahkan semangat dan melunturkan kesabaran nabi ayyub.

Allah telah meletakkan nabi ayyub sebagai tauladan kesabaran, keteguhan iman dan ketekunan beribadah kepada hamba-hambaNya.

Iblis meneruskan rancangan mereka. Kali ini mereka bersetuju untuk menaburkan benih-benih penyakit kepada nabi ayyub. Kuman yang ditaburkan itu membiak dengan cepat. Nabi ayyub diserang penyakit yang amat teruk sekali.

Badan nabi ayyub makin lama makin kurus, tenaganya makin lemah dan wajahnya menjadi pucat tidak berdarah dan kulitnya menjadi berbintik-bintik . Akhirnya nabi ayyub dijauhi oleh orang-orang sekampungnya kawan-kawan dekatnya, kerana penyakit Ayyub dapat berjangkit dengan cepat kepada orang-orang yang menyentuhnya atau mendekatinya. Nabi ayyub terasing daripada orang di tempatnya dan hanya isterinyalah yang tetap mendampinginya, merawatnya dengan penuh kesabaran dan rasa kasih sayang.

Walaupun hingga ke tahap itu cabaran dan ujian yang dihadapi oleh nabi ayyub, kesetian dan ibadahnya kepada Allah tetap tidak berkurangan malahan terus meningkat. Iblis yang geram dengan apa yang berlaku merancang untuk menggoda isteri nabi ayyub pula.

Akhirnya isteri nabi ayyub sedikit termakan dengan hasutan iblis tersebut. Nabi ayyub yang menyedari isterinya telah termakan hasutan iblis telah mengusir isterinya dari rumah dan berjanji akan merotan isterinya dengan 100 rotan apabila sihat nanti. Maka tinggallah nabi ayyub seorang diri mempertahankan keimanan dan ketakwaan nya kepada Allah.

Nabi ayyub bermunajat kepada Allah dengan sepenuh hati memohon rahmat dan kasih sayangNya.

Allah telah menceritakan kisah ini didalam firmanya di dalam surah al-anbiyaa ayat 83-84 :

83. Dan (ingatlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya Dengan berkata: "Sesungguhnya Aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja Yang Maha penyayang daripada segala (yang lain) yang penyayang".

84. Maka Kami perkenankan doanya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, Dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang Yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).

Dengan keizinan Allah, nabi ayyub telah sembuh dari penyakitnya. Sehinggakan isterinya sendiri hampir tidak mengenali nabi ayyub yang ditinggalkan dahulu kerana nabi ayyub sudah berubah menjadi muda, sihat tubuh badanya seperti tidak pernah sakit sebelum daripada itu.

Nabi ayyub teringat akan sumpahnya mahu merotan isterinya apabila dia sudah sembuh tetapi tidak sampai hatinya untuk memukul isteri yang tercinta. Lalu Allah telah menurunkan firmannya kepada nabi ayyub yang bermaksud :

“ Dan ambillah seikat (rumput) dengan tanganmu, lalu pukullah dengan itu dan janganlah engkau melanggar sumpah”

Nabi ayyub telah dikurniakan lagi dengan nikmat dari Allah. Nabi ayyub dikurniakan dengan putera seramai putera-puteranya yang telah hilang maut dalam bencana sebelum ini. Demikianlah rahmat dari Allah buat hambaNya yang setia dan sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran.

Oleh itu hendaklah kita mencontohi peribadi nabi ayyub ini kawan-kawan. Setiap ujian yang hadir dalam hidup kita adalah petanda kasih sayang Allah kepada kita.

Wabillahi taufiq wal hidayah..wassalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh..

No comments: