Saturday, January 31, 2009

Kiamat yang Dilupakan

Tetiber ingatan teman mengimbau kembali kenangan semasa teman mengajar di SMG masa balik bercuti baru-baru nih.. walaupun anak didik teman ni sedikit nakal..tetapi bila disebutkan soal azab neraka dan nikmat syurga mereka seolah sedang membayangkan di kotak fikiran masing. Bila disebut tentang azab neraka dapat teman lihat riak wajah mereka yang sedikit runsing dan bila disebut perihal syurga pula, teman dapat melihat senyuman dari mereka semua diselangi dengan pelbagai soalan untuk teman. Itulah anak-anak murid teman. Dalam usia mereka yang baru menjangkau 14tahun masih jauh perjalanan yang mereka perlu lalui. Lantaran itu mereka perlu dibimbing dengan sebaiknya agar mereka semua tiba ke destinasi dengan selamatnya.

Itu berkaitan anak didik teman..diri teman sendiri pun perlu teman peringatkan tentang perjalanan hidup teman nih. Entah esok atau lusa Allah tarik nyawa kita. Apa la nak dijawab nanti dihadapan Allah bila dipersoalkan dengan amalan yang kita telah lakukan selama hidup kita ini.

Nanti kita semua akan menempuh satu kehidupan yang abadi iaitu kehidupan di padang mahsyar. Hari akhirat ialah hari dimana kita semua akan dibangunkan semula setelah kita dimatikan dan dihimpunkan di suatu tempat yang dinamakan ‘Padang Mahsyar’. Disini kita semua akan menghadapi perbicaraan dan timbangan amalan kita selama mana kita hidup di dunia ini. Selesai amalan kita dihitungkan, dapatlah kita ketahui sama ada kita berjalan menuju syurga ataupun kita dihumban ke neraka Allah..waliyazubillah..ini adalah perkara asas yang wajib kita percaya seperti mana yang kita lafazkan di dalam rukun iman yang 6 itu untuk membuktikan aqidah kita supaya dapat membimbing hidup kita ke jalan yang diredhai Allah.

Sudah banyak kali teman ulangi perihal keadaan semasa dunia kita hari ini. Walaupun dunia kita makin hari makin moden tetapi hati-hati manusia yang mendiami dunia ini sebenarnya makin jauh dari Allah. Betapa bimbangnya kita pada hari ini bilamana melihat sudah ramai yang hidupnya terkeluar dari landasan syariat Islam.

Kalian sendiri pun pasti sudah masak benar dengan keadaan mayarakat kita yang kebanyakannya melebihkan kehidupan dunia tanpa mempedulikan tentang nasib kehidupan setelah mati nanti. Demi keseronokan dunia yang sementara ini, nafsu syahwat dipertuhankan. Ada yang secara terang-terang melakukan kezaliman. Fenomena seks bebas, mabuk arak, perjudian, hiburan yang keterlaluan dilihat semakin meningkat dari masa ke semasa. Keadaan ini terjadi adalah kerana mereka semua lupa bahawasanya pada suatu masa nanti segala perlakuan dan amalan kita akan dibicarakan. Bila hidup untuk akhirat dilupakan beginilah jadinya.

Dalam Quran ada banyak peringatan dari Allah tentang hari kiamat ini. Al-Quran mewajibkan kepada seluruh umat Islam untuk meyakini akan kewujudan hari kiamat ini walaupun kita tidak tahu bilakah kiamat ini akan berlaku.

Teringat apa yang teman sebutkan pada murid-murid teman berkaitan hari kiamat ni. Suatu suasana yang betul-betul dahsyat dan menggerunkan. Ada yang kelihatan seperti orang mabuk walaupun sebenarnya Mereka bukanlah mabuk. Ibu-ibu yang sedang menggendong pula akan terus keguguran kerana ketakutan. Begitu juga anak-anak yang sedang menyusu akan tercampak dari pelukan ibunya dan dilupakan begitu sahaja oleh ibunya.

Allah berfirman yang bermaksud :

Apabila matahari dilingkari cahayanya ( dan hilang lenyap ), apabila bintang-bintang gugur berselerakan dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa ( setelah dihancurkan menjadi debu )- Surah At-Takwir ayat 1-3

Kalian pun pasti pernah mendengar cerita berkaitan hari kiamat ni kan. Ada yang digambarkan berjalan kepala di bawah dan kaki di atas, ada yang merangkak, dan bermacam-macam lagi dalam keadaan panas dimana matahari hanya sejengkal dari ubun-ubun kita. Ada dari kita nanti yang tenggelam dalam peluh yang banyak dan busuk. Semua ini bergantung kepada tahap amalan kita semasa kita hidup di dunia ini.

Rasulullah jugak pernah bersabda dalam hadis yang agak panjang. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibni Ammar r.a bahwa Rasul Allah S.A.W memberitahu yang manusia akan dibangkitkan kembali antuk bertemu dengan Allah pada hari kiamat sebagaimana keadaan mereka ketika dilahirkan dari perut ibunya telanjang bulat. Siti Aisyah Radiallahuanha bertanya: Lelaki dan perempuan berkumpul sama ya Rasul Allah?. Jawab Rasul Allah S.A.W: Ya!. Siti Aisyah berkata: Alangkah malunya, kemaluanku dapat dilihat setengah daripada setengah yang lain. Rasul Allah S.A.W menepuk bahu Aisyah dengan bersabda: Kesibukkan manusia pada saat itu tidak memungkinkan akan melihat itu, kebanyakkan pandangan mereka pada saat itu mengarah ke langit, berdiri selama empat puluh tahun tidak makan dan tidak minum, ada yang berpeluh sampai ke tumit, betis, perut dan ke mulut kerana lamanya berdiri. Kemudian berdiri para malaikat mengelilingi Arash lalu Allah menyuruh menyeru NAMA fulan bin fulan. Maka semua yang hadir melihat orang yang dipanggil untuk mengadap Allah S.W.T dan apabila ia sudah mengadap Allah, lalu dipanggil orang-orang yang pernah dianiaya dan dizaliminya untuk diberikan kebaikannya kepada orang tersebut kerana pada saat tersebut tidak ada pembayaran dengan emas atau perak. Semua orang yang pernah dianiaya dan dizalimi menagih kebaikan darinya sehingga habis kebaikannya, lalu diambil dosa-dosa orang yang dianiaya dan dizalimi tersebut untuk dipikulnya. Kemudian setelah selesai semuanya maka diperintahkan Allah kembalilah ketempatmu ke Neraka HAWIYAH kerana pada hari ini tidak ada penganiayaan. Sesungguhnya Allah amat segera perhitungannya dan pembalasannya. "

Keyakinan kepada hari kiamat akan memberi kesan yang sangat mendalam ke dalam jiwa setiap orang islam dalam usaha mencapai matlamat kehidupan yaitu mendapat kecemerlangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Dengan meyakini bahawa pada hari kiamat kita tetap akan dihimpunkan di padang Mahsyar untuk dibicarakan dimahkamah Rabbul Jalil di atas segala tindak tanduk dan amalan yang kita lakukan semasa hidup di dunia dan akan menerima pembalasan yang setimpal dan adil saksama dari Allah. Oleh itu bersegeralah kita mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T dengan sentiasa mentaati semua perintah Allah serta meninggalkan segala larangannya yang merangkumi seluruh aspek kehidupan yang merangkumi dasar perjuangan, perncangan termasuk cara berfikir, cara bertindak dan cara mencapai sesuatu tujuan dan matlamat. Marilah kita warnakan seluruh aktiviti kehidupan kita dengan sistem hidup yang digariskan oleh Allah S.W.T dan sekaligus meninggalkan segala bentuk fahaman dan amalan akhliah yang bercanggah dengan syariat Allah.

Allah berfirman dalam surah Al-Zalzalah ayat 6-11 yang bermaksud :

Setelah berlaku demikian maka ( manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing ), adapun orang yang berat timbangan amal baiknya, maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, maka tempat kembalinya ialah HAWIYAH. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia HAWIYAH itu? (HAWIYAH itu ialah) api yang panas membakar. "

No comments: