Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh...
Yang saya muliakan tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang tidak pernah terleka dengan detikan waktunya, guru-guru yang saya kasihi seterusnya warga dewan yang dirahmati Allah sekalian.
Memakai topi tanpa jenama,
topi diguna warna berlainan,
Ashabul Kahfi diberi nama,
7 pemuda penuh keimanan.
Sidang hadirin dan hadirat sekalian,
Berdirinya saya disini pada hari ini adalah untuk menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk Ashabul Kahfi.
Ashabul kahfi adalah bermaksud penghuni-penghuni gua. Kisah ini berlaku di mana Allah telah menidurkan 7 pemuda selama 309 tahun setelah mereka bertekad tidak mahu tunduk dan patuh kepada raja yang zalim.
Kisah ketabahan dan keimanan 7 pemuda penghuni gua ini telah berlaku di sebuah negara yang rajanya amat zalim. 7 orang pemuda ini adalah orang yang beriman dan mempertahankan prinsip untuk terus berada dalam agama Allah. Kebanyakan rakyat yang takut dengan ancaman raja yang zalim ini terpaksa akur dengan arahannya.
Allah telah berfirman yang bermaksud :
"Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian) semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata : "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi, kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadaNya, jika kami menyembah yang lain bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
"(Mereka berkata pula sesama sendiri) : "Kaum kita itu, menyembah beberapa Tuhan yang lain selain Allah, sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu,(tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian) maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta kepada Allah.
Disebabkan penentangan mereka terhadap ajaran raja kafir ini, mereka semua akan dimurtadkan secara paksa dan sekiranya mereka tidak mahu juga untuk mengikut ajaran raja ini, mereka semua akan dibunuh.
Ketujuh-tujuh pemuda ini berbincang sesama mereka untuk mencari kata sepakat apakah yang patut mereka lakukan. Akhirnya mereka mendapat kata putus untuk melarikan diri dan bersembunyi di dalam gua.
Di dalam gua itu mereka diberi ketenangan dan ketenteraman oleh Allah. Allah telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut. Firman Allah menceritakan tentang mereka di dalam gua :
"Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya" - al-kahfi ayat 11.
Setelah sampai tempoh yang ditetapkan Allah, mereka dibangunkan. Ketika mereka bangun, mereka tidak menyedari bahawa mereka telah tidur dalam jangka masa yang amat lama.
Lalu bertanyalah salah seorang dari mereka : "sudah berapa lamakah kamu berada disini?"
Mereka menjawab :"Kita berada disini sehari atau setengah hari".
Disebabkan tidur yang lama, perut mereka terasa lapar. Maka mereka mencadangkan untuk menghantar seorang wakil untuk pergi ke bandar bagi mencari sesuatu untuk dimakan. Akhirnya mereka memilih Tamlikha untuk pergi ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.
Setibanya Tamlikha di bandar, dia berasa pelik dan hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan Tamlikha. Merka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Tamlikha dituduh menjumpai harta karun lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama.
Setelah mendengar kisah dari Tamlikha, raja dan orang-orangnya berangkat menuju ke gua tersebut untuk berjumpa dengan pemuda-pemuda itu. Setelah pemuda-pemuda tersebut menceritakan kisah mereka, pemuda-pemuda itupun dimatikan oleh Allah sesudah memberi ucapan selamat tinggal kepada raja yang beriman itu dan orang-orang nya.
Sidang hadirin sekalian,
Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa-apa sahaja walaupun perkara tersebut di luar batas pemikiran kita. Kita semua hendaklah mencontohi 7 pemuda ashabul kahfi itu dalam mempertahankan aqidah mereka. Sebagai seorang mukmin, kita haruslah berpegang teguh dengan tali Allah tanpa ada sebarang keraguan dalam hati kita.
Demikianlah kawan-kawan, kisah ashabul kahfi ini memang patut kita jadikan tauladan dalam hidup kita.
Ashabul Kahfi jadikan tauladan,
untuk kita mengorak langkah,
hidup ini perlukan pegangan,
barulah kita diberkati Allah.
Saya sudahi cerita saya ini dengan kalimah yang mulia, wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Sekian terima kasih.
Monday, April 6, 2009
Kisah Ashabul Kahfi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Di Sebalik Kisah Ashabul Kahfi
Ketika Umar bin Khattab diangkat menjadi khalifah, sekelompok pendeta Yahudi datang kepadanya, dan salah seorang berkata kepada Ali bin Abi Thalib, "Wahai Ali, aku ada satu masalah yang ingin aku tanya kepadamu,"
Ali pun berkata, "Bertanyalah sesuka hatimu."
Orang Yahudi itu pun berkata, "Beritahukan padaku tentang sekelompok manusia pada zaman dahulu, mereka mati selama tiga ratus sembilan tahun, lalu Allah hidupkan kembali. Bagaimana kisah mereka?"
Ali berkata, "Wahai Yahudi, mereka adalah penghuni gua (Ashabul Kahfi), Allah telah menurunkan atas nabi kami Al-Quran yang memuat kisah mereka. Kalau engkau mahu, akan kami bacakan kisah mereka di hadapanmu."
Orang Yahudi berkata, "Betapa sering aku mendengar Al-Quran. Kalau engkau memang tahu, katakan padaku nama-nama mereka, nama raja, nama anjing, nama gunung, nama gua dan kisah mereka dari awal hingga akhir."
Lalu Ali berihtiba' (duduk sambil mengangkat kedua lutunya dengan melilitkan serban pada kedua lutunya) dengan serban Rasulullah SAW, seraya berkata, "Wahai saudara bangsa Arab, kekasihku Muhammad SAW pernah bercerita kepadaku bahawa di daerah Romawi sebuah kota bernama Afsus dan juga dinamakan Thurthus. Nama kota itu di zaman jahiliah adalah Afsus, lalu ketika Islam datang dinamakan Thurthus. Mereka mempunyai seorang raja yang soleh. Raja itu mati lalu tersebar berita kematiannya hingga seorang raja dari Persia yang bernama Diqyanus mendengar berita tersebut. Dia adalah raja yang sangat zalim dan kafir. Dia datang bersama bala tenteranya ke kota Afsus dan menjadikannya sebagai tempat kerajaannya, lalu membangun sebuah istana."
Yahudi itu berkata, "Jika Anda benar-benar tahu, maka jelaskan kepadaku tentang istana itu dan ruang-ruangannya!"
Ali menjawab, "Raja itu membangunkan istana dari marmar, panjangnya satu farsakh (5 - 6 km), lebarnya satu farsakh. Di dalamnya terdapat empat ribu pilar dari emas dan seribu lampu emas. Lantainya dari suasa dan setiap malam diisi dengan minyak wangi yang harum. Dia letakkan di bahagian timur seratus delapan puluh kekuatan, demikian juga di bahagian baratnya. Matahari dari sejak terbit sampai terbenam mengitari istana. Dia membuat singgahsana dari emas panjangnya delapan puluh hasta dan berhiaskan mutiara. Dia letakkan di sebelah kanan singgahsana delapan puluh kursi emas untuk para panglimanya dan juga di sebelah kirinya delapan puluh kursi emas juga. Dia duduk di atas singgahsananya sambil mengenakan mahkota di atas kepalanya."
Post a Comment