Saturday, May 30, 2009

Pemimpin yang bijak

Erm aper yerk teman nak tulis pada kali nih.. Macam mana kita nak bijaksana dalam berpersatuan. Mungkin boleh kita ambik sedikit input walaupun tidak semua dari apa yang teman tuliskan ini.

AMANAH DALAM KERJA

Apabila menyebut orang yang beramanah, sudah pasti orang tersebut merupakan orang yang bertanggungjawab atas sesuatu kerja yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Seseorang yang tidak bertanggungjawab, menandakan orang tersebut bukanlah orang yang amanah. Apabila orang tersebut tidak bertanggungjawab, maka orang tersebut tidak layak untuk diberikan sesuatu kerja yang diharapkan natijah yang baik.

Dalam kontek kepimpinan persatuan, amanah merupakan perkara penting. Amanah tersebut, samada amanah dalam berusaha melakukan keputusan mengikut acuan yang diredhai Allah dan juga amanah dalam mengurus kebajikan ahli setelah diberi mandat oleh ahli sendiri. Apabila seseorang itu tidak beramanah dalam usaha hendak mendaulatkan amanah Allah, maka lebih-lebih tidak layak lagi bagi orang tersebut memegang jawatan dalam mengurus persatuan.

MAMPU BEKERJA

”Tangkap muat” bukanlah satu tindakan yang bijak bagi menentukan sesuatu kerja itu melahirkan natijah yang baik. Orang yang bekerja itu, disamping seorang yang beramanah, hendaklah didapati ianya seorang yang berkemampuan dalam bekerja. Berkemampuan itu bukanlah dilihat kepada status pendidikannya semata-mata, bahkan yang lebih penting kemampuan itu dilihat pada pengalaman kerja.

Pengalaman kerja itu dapat dinilai dari sudut kebijaksanaannya dalam mengurus sesuatu kerja. Lebih awal daripada itu setiap individu berhak untuk diberikan kepercayaan untuk mereka menampilkan bakat kepimpinan mereka. Kadangkala didapati orang yang berpengalaman kerja, tetapi ianya seorang yang tidak amanah, maka orang sebegini juga tidak layak untuk memegang sesuatu kerja.

PEMBAHAGIAN TUGAS

Dalam bekerja, terutama dalam usaha hendak mendaulatkan islam dan memantapkan organisasi, sudah pasti memerlukan kerja keras bagi menjayakannya. Dalam sesebuah persatuan ataupun organisasi, tidak akan ada orang yang mampu bekerja dengan seorang diri, bahkan memerlukan bantuan dari orang lain terutamanya dari ahli bawahan. Mana mungkin seorang yang dilantik menjadi AJKT atau EXCO dalam sesebuah persatuan dapat melaksanakan semua kerja .

Maka bagi menyelesaikan kerja-kerja yang banyak itu, hendaklah wujudnya pembahagian tugas. Pembahagian tugas tersebut pula, hendaklah terdiri dari kalangan orang yang mempunyai ciri-ciri mereka yang berkelayakkan, iaitu mempunyai amanah dalam kerja dan mempunyai kemampuan dalam sesuatu kerja. Dan perlu ditegaskan sekali lagi, setiap individu sebelum dia dikira layak atau tidak menguruskan sesuatu perkara harus diberikan peluang untuk mereka terlebih dahulu bagi membuktikan kemampuan mereka.

PEMIMPIN TIDAK BOLEH SOMBONG

Ada sebilangan pemimpin-pemimpin persatuan,bukanlah teman maksudkan mana2 persatuan atau organisasi, tetapi teman membawa maksud umum, apabila mereka terpilih untuk menjadi antara insan yang berada di atas, pemilihan itu telah menyebabkan mereka menjadi bongkak dan sombong. Kesombongan mereka terserlah, apabila sebilangan ahli persatuan ingin berjumpa untuk membincangkan masalah, mereka menggambarkan memek muka yang tidak menyeronokkan.

Apabila mereka dihubungi, mereka sudah mula tidak mahu mengangkat telefon. Apabila mereka ditegur, mereka akan mengambil sikap sombong bagaikan Firaun menghadapi Musa AS. Dan pergaulan yang sebelum ini akrab berubah serta merta apabila telah menjawat sesuatu jawatan dalam organisasi.Yang lebih teruk, apabila jawatan yang diperolehi ini menyebabkan mereka sudah mula lupa kepada ahli-ahli bawahan yang bertungkuh lumus dalam menjayakan program-program anjuran mereka.Apabila ditanya atau ditegur, jawapan mereka adalah, ”ana adalah pemimpin, dan inilah tindakan profesional”..........

BIJAK MENGGUNAKAN KUASA

Tindakan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang meluangkan masa makan tengahari di restoran Cheng Ho kepunyaan Amy Serch di Wangsa Maju merupakan satu contoh tindakan seorang pemimpin yang bijaksana. Pemikiran ini sepatutnya ditauladani oleh semua pemimpin tidak kiralah dia hanyalah pemimpin sebuah persatuan.

Kesimpulan daripada contoh yang telah diberikan itu adalah jangan lah mudah2 kita sebagai pemimpin ini untuk menyisihkan orang bawahan. Jangan mudah menghukum seseorang sekiranya mereka berlainan fikrah dengan kita. Insya Allah teman harap sahabat-sahabat semua dapat menangkap apakah maksud sebenar yang ingin teman utarakan melalui contoh yang telah diberikan, kerana teman bukanlah orang yang bijak untuk mengatur ayat-ayat agar mudah difahami.

Seseorang yang zaman silamnya gelap, tidak seharusnya dianggap ianya sentiasa berada dalam kegelapan. Jika dilihat kepada langit, ada masa ia gelap, dan dimasa lain ia menjadi cerah, maka begitujuga kehidupan manusia, walaupun di zaman dahulunya ”jahat”, tetapi sebagai pemimpin, perlu difikirkan cara dan kaedah untuk membaiki kejahatannya sehingga dia menjadi orang yang baik. Bukanlah dengan menyisih mereka-mereka ini dan melihat mereka ini dengan pandangan yang serong.

Berfikir ”membunuh” semua pengkritik kita, bukanlah pemikiran pemimpin. Bahkan sebagai pemimpin, pemikiran hendak menjadikan pengkritik itu sebagai punca maklumat dan kritikan yang sehat merupakan tindakan yang bijak.Demikian lah serba sedikit perkongsian yang dapat teman bawakan disini.

Penulisan teman ini bukan lah yang terbaik tetapi sekurang-kurangnya dapat dijadikan sebagai cebisan panduan untuk kita semua yang insya Allah akan pulang ke tanah air dan akan dinobatkan sebagai seorang pemimpin. Sekiranya bukan pemimpin masyarakat, kita tetap pemimpin keluarga, dan sekiranya masih belum berkeluarga, kita semua adalah pemimpin kepada diri kita.Salah silap mohon dimaafi. Wallahu 'alam...

No comments: